Saturday 7 June 2014

Pentingnya Kuasai Ilmu Berkawan


:Puisi Buat Sahabat:

Kami sahabat takkan berpisah
Setiap watak banyak telatah
Membuat hari-hari kami menjadi meriah.


Kami sahabat takkan terpisah
Berjuang untuk kejayaan indah
Akan terus maju tampa mengalah.


Kami sahabat takkan terpisah
Pahit getir kami harungi
Moga persahabatan kami terus mewangi.



Mesti korang pelik an, kenapa tiba-tiba aku dok nak berpuisi bagai ini hari heee... Sebenarnya aku rindu teman-teman aku masa belajar di bangku sekolah dulu. Masing-masing dengan haluan sendiri sekarang, sementara dok tunggu panggilan Universiti. Tak tahulah di Universiti nanti kami bertemu kembali atau tidak. Aku ingin sekali kembali pada zaman persekolah. Tapi aku teringat kata atok aku masa aku kecil dulu. Dia kata "Selagi kita boleh sekolah kita sekolah, selagi bangku sekolah tu nak terima untuk kita duduk di atasnya dan belajar teruskan, tapi kalau bangku tu dah tak mahu terima kita lagi maka berakhirlah zaman persekolahan kita Cu". Aku tergerak hati nak menulis puisi, sebab dah lama tak menulis puisi heee... Teringat dekat teman lama, muncullah idea demi idea untuk aku menulis puisi ni. Korang pon mesti ada ramai kawan kan? Tapi dalam banyak-banyak kawan korang tu ada ke sahabat sejati yang sentiasa ada dengan korang dikala sedih, susah mahupun senang? Jika ada Alhamdulillah, korang berjaya membina tali persahabatan yang cukup erat.


   


Menurut agama Islam bersahabat, berkawan atau apa saja yang sama maksud dengannya bukan saja untuk memenuhi keperluan badaniah ataupun duniawi, bahkan sebagai tiket untuk mendapat naungan Allah SWT di akhirat kelak.
Perhatikan hadis ini.

"Sebilangan manusia yang dinaungi Allah di bawah naungan-Nya pada hari kiamat iaitu hari yang tidak ada sebarang naungan padanya selain naungan Allah; di antaranya ialah:


  • Pemerintah yang adil, 
  • Pemuda yang hidupnya sentiasa mengerjakan ibadat kepada tuhannya, 
  • Orang yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid, 
  • Dua orang yang berkasih sayang kerana Allah yang kedua-duanya berkumpul dan berpisah untuk mendapat keredhaan Allah, 
  • Orang yang dipujuk oleh perempuan yang kaya lagi rupawan untuk bersatu dengannya lalu ia menolak dengan berkata: “Aku takut kepada Allah!”, 
  • Orang yang bersedekah secara bersembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberi oleh tangan kanannya, 
  • Orang yang menyebut atau mengingat Allah dengan keadaan tidak ada dalam ingatannya perkara lain, lalu menitis air matanya kerana mengingatkan sifat Jalal dan sifat Jamal Allah." 
(Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah)





Mari kita lihat perbezaan sahabat, kawan, rakan, dan kenalan:


Sahabat
Sahabat adalah orang yang memiliki rasa tanggungjawab terhadap diri kita, tetapi tidak memiliki hubungan darah. Dalam erti kata lain, sahabat bukan terdiri daripada adik-beradik tetapi berupaya mewujudkan hubungan yang mirip hubungan persaudaraan antara adik-beradik. Sahabat adalah orang yang banyak memberi manfaat dan kebaikan kepada kita, begitu jugak dengan kita.


Kawan
Kawan ialah seorang yang boleh berkongsi lebih dari satu perkara seperti minat, hobi, perasaan, perjuangan dan sebagainya biarpun bukan dari organisasi yang sama. Kawan ialah orang yang selalu berinteraksi dengan kita dan mengenali beberapa fakta peribadi mengenainya.

Rakan
Rakan ialah perantaraan antara kawan daan kenalan. Rakan ialah orang yang berkongsi minat, kerjaya, hobi, permainan, guru, kelas, matlamat dan sebagainya dalam satu organisasi atau kumpulan seperti persatuan, kelab, syarikat, pertubuhan dan sebagainya. Contohnya, ada rakan satu tingkatan, rakan satu sekolah, rakan satu kelab dan sebagainya.

Kenalan
Kenalan mungkin wujud sebagai rakan. Contohnya rakan chatting, rakan siber dan rakan blogger. Apabila mengenali seseorang itu dalam bentuk atau identiti tertentu, maka dia adalah kenalan. Kenalan adalah orang yang pernah berinteraksi dengan kita tetapi tidak dapat mengesahkan identiti atau kewujudan sebenarnya. Kita perlu berwaspada dengan kenalan-kenalan siber kerana, di luar alam siber, mereka tidak semestinya orang yang sama seperti yang kita pernah kenal di internet.


Hah ! Jadi korang ramai yang mana satu dalam 4 kategori tu? 

Cuba korang tengok diri korang sendiri, adakah korang ni jenis yang mudah mendapat kawan atau sebaliknya. Contohnya, korang mungkin pandai berkawan. Ramai pelajar  atau sesiapa pun suka berkawan dengan korang. Malah, korang boleh bergaul dengan mana-mana teman sekalipun sama ada mereka ini pelajar cemerlang, tidak cemerlang, pendiam, peramah, pemalu dan kaki buli sekalipun. Pandai berkawan adalah satu kemahiran. Jika korang tidak tahu kemahiran apa yang  korang ingin kuasai sewaktu belajar, aku akan cadangkan korang belajar kemahiran berkawan. Ini kerana, jika korang pandai berkawan,  korang boleh menyesuaikan diri  korang di mana sahaja  korang berada nanti. Bukan itu sahaja, kawan yang baik adalah satu faktor penting dalam mencapai kejayaan. Lihat disekeliling  korang. Lihat pada kawan-kawan  korang tidak kira  korang rapat dengan mereka atau tidak. Suatu hari nanti, ada antara kawan-kawan  korang itu akan capai kejayaan yang hebat dalam hidup mereka. Ada kawan  korang yang jadi terkenal suatu hari nanti. Ada kawan  korang yang akan berpangkat Dato’, Tan Sri atau Dato’ Sri nanti. Korang tidak nampak perkara itu sekarang. Jadi, jika  korang pandai berkawan, kawan-kawan korang ini akan membantu atau sekurang-kurangnya memberi semangat kepada  korang untuk berjaya suatu hari nanti.


"Menurut satu kajian di negara barat, lebih 80% pekerja dibuang kerja bukan disebabkan oleh masalah tidak pandai melakukan kerja. Tetapi mereka dibuang kerana mereka mempunyai masalah dalam sikap terutamanya masalah dalam bergaul dengan rakan sekerja"


Semasa korang berusaha untuk berjaya di zaman persekolahan dan universiti, korang mungkin lakukan untuk kejayaan peribadi korang je kan? Korang bekerja keras belajar dan mengulangkaji dan hasilnya mendapat kejayaan individu. Di tempat kerja, kejayaan korang bukanlah kejayaan individu. Sebaliknya korang perlu bekerjasama dengan pekerja lain untuk mencapai kejayaan secara berkumpulan. Jika korang tidak biasa dengan cara bekerja dalam berkumpulan, kemungkinan perasaan janggal dan susah untuk menyesuaikan diri itu akan ada. Lebih teruk lagi, jika korang masih terbawa-bawa sikap  di zaman persekolahan dimana korang suka bekerja sendirian tanpa campur tangan orang lain. Korang perlu ingat, teknik dan strategi pada masa lalu tidak menjanjikan kejayaan pada masa akan datang. Maksudnya, untuk berjaya, korang perlu sentiasa sesuaikan strategi dan teknik korang dengan keadaan yang baru.



Senang cite macam peribasa melayu tu "Bila masuk kandang kambing mengembek, sebaliknya jika masuk kandang harimau mengaum". Takkan lah korang nak masuk kandang harimau mengembek, dah tentulah kena ngap lebih cepatkan heee.... Jadi cubalah kuasai ilmu berkawan tu ok! Jangan jadi sombong dan suka memilih kawan sangat nanti mungkin kita akan dipulau atau dibenci oleh orang tampa sedar. So bila dah ada kawan tu janganlah dok gaduh-gaduh. Cuba jadikan kawan itu sebagai sahabat yang dapat bersama korang dikala korang susah, senang ataupun sedih. Memang sukar untuk mencari sahabat sekarang ni. Kadang-kadang kawan makan kawan pun ada. So sebelum bina hubungan persahabatan tu, kita kenal pasti betul-betul karakter kawan kita tu ok! Sampai sini je aku tulis hari ini, moga korang dapat ramai kawan & sahabat yang dapat bersama korang dalam apa jua keadaan ok !

Friday 6 June 2014

Semangat Yang Tinggi Dan Bakat Yang Diperolehi Membuatkan Muhammad Ali Menjadi Peninju Terhebat


Hai korang semua. Hari ni aku nak bawak cerita mengenai seorang peninju. Aku pun seorang peninju jugak cehh wahhh… Takdalah aku just orang biasa je, setakat bila aku tertekan tu adalah jugak pergi tinju pokok pisang atok aku… Lepas tu mulalah dia dok jerit nama A*********** Haha… Hanya itu je cara nak kurangkan tekanan bagi aku, maaf ya tok heee… Aku pasti korang semua dah tahukan apa itu tinju? Kalau yang tak tahu tu, tinju ni adalah satu seni mempertahankan diri dan biasanya dipelopori oleh golongan lelaki lah setahu aku. Kisah seorang peninju kulit hitam yang bakal aku bawak ni adalah bukan seorang peninju biasa. Malah dia bertinju dengan penuh semangat dan usahanya yang begitu gigih membuatkan dia telah berjaya mengubah hidupnya daripada seorang yang miskin kepada seorang yang kaya raya serta berjaya.


           


Muhammad Ali adalah satu lagi nama yang menjadi sebutan ramai di seluruh pelosok dunia selama lebih dua dekad. Beliau adalah seorang peninju teragung dunia yang telah berjaya menduduki singgahsana kejuaraan tinju dunia selama beberapa tahun. Muhammad Ali telah muncul sebagai tokoh lagenda di dalam arena tinju pada akhir abad ke-20 ini. Belum ada seorang peninju dunia sebelum dan sesudah beliau yang standing dengan beliau. Namanya begitu teguh menguasai dunia tinju dalam jarak masa yang begitu lama kira-kira lebih kurang dua dekat ( tahun-tahun 60an dan 70an). Muhammad Ali pernah dilucutkan mahkota kejuaraannya dalam tahun 1964 oleh Persatuan Tinju Dunia apabila beliau enggan menyertai latihan tentera untuk dihantar berperang ke Vietnam. Ekoran dari keengganannya itu, Muhammad Ali dilarang bertinju selama tiga tahun mulai April 1967 hingga September 1970. Walau bagaimanapun apabila dibenarkan bertinju semula pada akhir 1970, beliau telah membuktikan kehebatan beliau sekali lagi kepada dunia bahawa beliau masih lagi mampu menewasakan semua peninju terhandal dunia. Seorang demi seorang dikalahkan oleh beliau. Kemudian Muhammad Ali berjaya merampas kembali mahkota kejuaraannya tanpa menghadapi banyak masalah.


                               

Muhammad Ali pernah kehilangan mahkota kejuaraannya sebanyak 3 kali kerana dirampas oleh pencabar-pencabarnya. Ternyata Muhammad Ali bukanlah peninju yang mudah mengaku kalah tetapi sebaliknya dia terus bangkit dari kekalahan dan berjaya menewaskan ketiga-tiga peninju berkenaan. Ini membolehkan beliau menjadi peninju pertama dunia yang telah berjaya menduduki singgahsana kejuaraan itu sebanyak tiga kali berturut-turut. Sesungguhnya tidak ada peninju lain yang sanggup berbuat demikian. Tetapi Muhammad Ali telah membuktikan kesungguhannya. Hanya peninju yang berjiwa besar dan tabah seperti Muhammad Ali sahaja yang mampu melakukan kesemua itu. Nyatalah beliau bukan calang-calang peninju dan begitu istimewa sekali. Adakah Muhammad Ali memang dikurniakan kepakaran meninju sejak kecil lagi tampa menjalani sebarang latihan? Jawapannya tidak sama sekali. Kerana setiap orang memiliki bakat, tetapi bakat itu perlu diasah supaya menjadi lebih hebat dan mantap. Ibarat belakang parang, jika belakang parang yang tumpul itu diasah selalu maka tidak mustahil ia juga menjadi tajam.


                               

Muhammad Ali tahu dia mempunyai bakat yang istimewa dalam sukan tinju. Sejak umur 13 tahun lagi dia sudah berangan-angan untuk menjadi peninju terkemuka dunia pada suatu hari nanti. Muhammad Ali telah memasuki gelanggang tinju di negaranya, Amerika Syarikat dalam usia belasan tahun. Muhammad Ali memang seorang peninju yang berbakat. Menyedari bakatnya menonjol dalam bidang itu, Muhammad Ali terus mengasah dan memupuk bakatnya sejak beliau masih di alam kanak-kanak lagi. Dia berlatih selama berjam-jam setiap hari terutama menjelang pertarungan. Latihan-latihan yang diperolehinya bukanlah percuma begitu sahaja. Dia dikenakan bayaran. Muhammad Ali terpaksa bekerja sewaktu dia tidak bersekolah bagi mendapatkan wang untuk membiayai latihan-latihan tinju yang diperolehinya daripada beberapa orang jurulati seperti Fred Stoner dan Joe Martin. Sejak beliau mula memasuki kerjaya tinju secara professional dalam tahun 1960 hinggalah beliau menamatkan kerjayanya dengan suatu kekalahan kiraan mata di tangan rakan selatihannya iaitu Larry Holmes, beliau hanya mengalami beberapa kekalahan sahaja. Itu pun dengan kiraan mata. Muhammad Ali juga pernah mengalami beberapa kekalahan yang tidak diduganya, terutama semasa beliau masih berada di kemuncak kerjayanya.

                           

Satu-satunya pengalaman yang paling pahit dilalui beliau ialah ketika dikalahkan oleh Ken Norton, seorang peninju yang berbadan agak kecil dan tidak begitu terkenal di arena tinju heavyweight. Ken Norton bukan sahaja berjaya mengalahkan peninju teragung Muhammad Ali malah dia juga berjaya memecahkan tulang dagu peninju yang beragama Islam itu. Muhammd Ali bukan sahaja menanggung malu akibat kekalahan itu malah dia juga terpaksa menanggung kesakitan yang amat perit sekali akibat tulang dagunya yang pecah itu. Selama beberapa hari peninju itu tidak dapat membuka mulutnya. Bukan setakat itu sahaja penderitaan yang terpaksa ditanggungnya. Dia juga telah dihina dan diejek serta dilontarkan dengan kata-kata kesat oleh mereka yang membencinya atau yang mendendaminya selama ini.

“Kita telah tewaskan awak! Awak anak haram!!”

“Dah habis, si mulut besar!”

Dan pelbagai lagi kata kesat yang dihemburkan ke arahnya oleh musuh-musuh beliau sebaik sahaja dia diumumkan kalah di tangan Ken Norton. Muhammad Ali tidak ada pilihan lain melainkan menerima segala-galanya itu sebagai dugaan dan cabaran kepada beliau. Beliau menerima segala ketentuan itu dengan sabar, tabah dan penuh insaf. Kejatuhan Muhammad Ali membuatkan beliau menanam suatu azam untuk menebus kembali segala bentuk penghinaan yang dialaminya itu dan merampas semula mahkota kejuaraanya.

“Bila saya setuju untuk bertarung, bererti saya sedia menerima segala akibatnya. Saya telah melakukan segala-galanya untuk memenangi pertarungan itu; tetapi andainya saya tewas juga, maka saya terpaksalah bangun dan kembali semula untuk bertarung, walau betapa hina sekalipun kekalahan yang saya deritai itu,”


                              


Itulah kata-kata semangat dan azam yang tersemat dalam jiwa peninju terkemuka dunia itu ketika mengalami zaman kejatuhan beliau. Muhammad Ali benar-benar telah membuktikan keazamannya itu, apabila beliau berjaya mengalahkan Ken Norton di dalam pertarungan ulangan beberapa bulan kemudian. Begitulah semangat Muhammad Ali dalam menghadapi setiap kekalahan beliau dan menjadi seorang yang kaya raya hasil kejayaannya dalam dunia tinju. Muhammad Ali juga menjadi pendakwah Islam, penderma yang pemurah dan pejuang Kaum Kulit Hitam dan hak-hak asasi manusia yang komited di tanah airnya.





Itulah serba sedikit yang dapat aku kongsikan dekat korang tentang semangat, cita-cita dan matlamat seorang isan yang ingin menjadi hebat di mata dunia. Persoalannya kini yang aku nak korang teliti, dapatkah Muhammad Ali mendaki ke puncak kejayaan sebagaimana yang telah dicapainya itu sekiranya beliau tidak mempunyai dan mengenal pasti bakat yang ada pada diri beliau? Dan aku ingin tanyakan kepada korang walaupun dia mempunyai bakat yang istimewa, andai kata beliau tidak berusaha mencanai, memupuk dan membangunkannya secara berterusan dan bersungguh-sungguh, adakah korang fikir Muhammad Ali akan berjaya dan mampu menjadi seorang peninju yang terkemuka dunia seperti sekarang.

Jawapannya, sekali tidak!

 

Jadi kenal pasti bakat korang, dan asahlah bakat itu serta jadikan bakat itu sebagai batu loncatan untuk korang berjaya ok !

Thursday 5 June 2014

Keperitan Hidup Allahyarham Tan Sri P Ramlee pada akhir hayat beliau




“ Hei !!! Hang Jebat kalau hang berani hang mai sini sat”. “Aku Hang Tuah mai sini nak tikam hang sebab hang dok derhaka ngan Sultan Melaka”. “Awat hang jadi gini Jebat? Aku p kedai sat, ko dok ngamuk sana sini”. Nate berok betul mu ni Jebat ! Stoppp Sstopp!!! Heee…. Mesti korang dok pening pale baca apa yang aku dok ngarut tu an? Heee… Sebenarnya aku ngah nak cuba jadi pengarah filem lawak ni. Mana tahu filem aku ni dapat sambutan an??? Heee… Mesti korang cakap aku ni kuat berangan je an? Takpa aku tak kesah pon heee.. Bila cerita pasal filem lawak ni teringat pulak aku dekat filem-filem dulu. Filem yang telah mencuit hati seluruh masyarakat. Filem apakah yang aku maksudkan? Filem yang aku maksudkan adalah filem yang bertajuk Do Re Mi, Pendekar Bujang Lapok, Bujang Lapok dan banyak lagi filem komedi yang telah berulang kali dimainkan di kaca television. Filem-filem ini walaupun telah berulang kali dimainkan namun setiap babak dalam ceritanya dapat mencuit hati para penontonnya. Mesti korang tahukan siapa pelakon yang menyerlah dan dikenang sehingga ke hari ini ? Tan Sri P. Ramlee, tepat sekali tekaan korang, itu pun kalau korang tekalah dan tekaan tu betul kan? Heee… Mesti korang rasa dia seorang yang kaya dan hidup senang lenang disepanjang pembabitannya di dalam dunia perfileman bukan?. Tapi sebenarnya tanggapan korang tu salah.


                                          





Tan Sri P. Ramlee Beliau telah dilahirkan pada 22 Mac 1929, iaitu selepas khutbah selesai pada pagi Hari Raya Aidilfitri di Pulau Pinang. Beliau adalah anak kepada pasangan Teuku Nyak Puteh bin Teuku Karim (1902 - 1955) dan Che Mah Hussein (1904 - 1967). Sebelum Che Mah melahirkannya, Che Mah telah mengadu sakit perut pada sebelah paginya. Tetapi, bapanya harus menunaikan sembahyang raya. Mujurlah ibu Che Mah tinggal bersama-sama dengannya. Ibu Che Mah telah memanggil bidan dan orang ramai mula berkumpul di rumah mereka. Selepas pulang daripada menunaikan solat, Teuku Nyak Puteh mendapati anaknya telah selamat dilahirkan. Ibu Che Mah telah memanggil cucunya dengan panggilan "Ramlee" kerana kesukaran memanggil nama "Teuku Zakaria". P. Ramlee menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Kampung Jawa dan Francis Light English School. Seterusnya, beliau menyambung pelajaran di Penang Free School sehingga meletusnya Perang Dunia Kedua. Ketika beliau masih bersekolah di Penang Free School, beliau dikenali sebagai pelajar yang kemas dari segi tulisan dan mempunyai bahasa yang menarik. Ketika zaman pendudukan tentera Jepun di Tanah Melayu, beliau belajar di Japanese Navy School (Kaigun Gakko) sebelum kembali ke Penang Free School apabila perang tamat.



                                               

P. Ramlee mula meminati bidang muzik apabila melihat rakan-rakannya bermain muzik di kampungnya. Beliau mula mengumpul duit hasil upahan orang dalam usaha untuk membeli sebuah biola. Ketika beliau bersekolah di Japanese Navy School, beliau pernah menjadi ketua dalam satu batalion seramai 150 orang. Apabila pertunjukan pentas diadakan pada setiap malam minggu, beliau seringkali diundang untuk menyanyi beberapa buah lagu. Ketika kecil selepas selesai mengaji Al-quran, P. Ramlee akan berlakon di padang di depan kawan-kawannya dengan aksi watak adiwira seperti Hang Tuah, Robin Hood, Zorro, Sea Hawk, Captain Blood dan Tarzan. Pada zaman kanak-kanak P.Ramlee terlalu kurus dan berjerawat batu ketika mudanya; suka ponteng sekolah, tidur dalam kelas, dan suka bermain dam. P. Ramlee bukan dari kalangan pelajar cemerlang. Beliau juga tidak gemar membaca, satu-satunya novel kegemaran P. Ramlee adalah berjudul ‘Atheis’ karya Achdiat K. Miharja. P. Ramlee seorang yang cekap bermain peralatan muzik seperti piano, gitar, biola, ukulele, trompet dan akordion. Bagaimanapun beliau tidak mahir bermain saksofon.

                                                                                                                                                                            


Ketika hayatnya, Seniman Agung Allayarham Tan Sri P. Ramlee yang akhir hayatnya mempunyai kisah tersembunyi yang ramai generasi kini tidak tahu mengenainya. Pada akhir hayat, tokoh seniman yang terkenal di Nusantara itu hidup bagaikan kera sumbang. Tiada kawan, tiada rakan rapat yang sama-sama membina populariti ketika di Studio Jalan Ampas bersamanya. Media massa pula bagaikan sudah tidak lagi menyokongnya, malah ada yang mahu menjatuhkannya. Ditamatkan kontrak dengan EMI dan Shaw Brothers, akhir hayat beliau penuh kegetiran dan paling menyedihkan ialah menghadapi masalah kewangan. Matinya dalam kemiskinan, namun khazanahnya filem dan muzik yang ditinggalkan kekal abadi dan bernilai jutaan ringgit. Khazanah seni ditinggalkan bukan milik beliau, bukan juga milik Malaysia. Shaw Brothers mengaut keuntungan dengan hasil kreatif P Ramlee. Difahamkan ketika itu, pihak tertentu berkomplot dan memulakan perang media memburukkan P Ramlee. Hasilnya, beliau dipulaukan, diejek dan pernah kena BOO oleh anak bangsanya sendiri. Ketika kesempitan wang, P Ramlee hanya makan nasi putih dan telur goring sahaja. Sepanjang pembabitannya selaku seniman, P Ramlee hidup berpindah randah tujuh kali. Dari studio Jalan Ampas, Boon Teck Road hingga ke Jalan Dedap. Semua rumah itu disediakan oleh Shaw Brothers, dimana P Ramlee bekerja. Beberapa tahun sebelum berpindah ke Kuala Lumpur, P Ramlee ketika itu sudah pun menempa nama tetapi hanya tinggal di sebuah rumah teres dua tingkat di Cedar Avenue.


                                                     


Tunku Abdul Rahman Ibni Putra Al-Haj, Perdana Menteri Malaysia pada 1964 pernah menawarkan jawatan Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan kepada P Ramlee tetapi ditolaknya kerana seandainya beliau menjawat jawatan menteri aktiviti seninya akan mati. P Ramlee juga merupakan orang pertama mengasaskan perkataan "Pawagam" iaitu singkatan panggung wayang gambar. Sepanjang hayatnya, P Ramlee tidak pernah mengawini “anak dara”, ketiga-tiga isteriya adalah janda. Isteri pertamanya, Junaidah Daeng Harris. Perkahwinan hanya kekal empat tahun, iaitu pada 1949-1953. Pada 1955 P Ramlee menikahi Noorizan Mohd Noor dan bercerai pada 1961. Isteri ketiganya iaitu Saloma, P Ramlee sering mengucapkan beliau ingin hidup seribu tahun lagi. Pada Saloma P Ramlee tetap hidup di dalam hatinya. “Perkahwinan kami dilafazkan dengan janji dan sumpah, bahawa kami takkan bercerai berai kecuali mati,” kata Saloma lalu menyatakan memang betul-betul perkara itu terjadi. Kata-kata terakhir P Ramlee kepada Saloma sebelum beberapa hari meninggal dunia. “ kita tak usah bercerai kita dah tua kalau nak bercerai biar bercerai mati, jangan bercerai hidup. P Ramlee juga dikatakan memiliki beberapa kelebihan iaitu boleh melihat dan meramal menerusi air, selain membantu merawat orang sakit menerusi perubatan tradisional. Beliau juga pernah meramalkan bahawa Malaysia akan maju pada Perdana Menteri yang ke empat. Ramalannya menjadi benar apabila Malaysia semakin dikenali di seantero dunia melalui pimpinan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir. P Ramlee memiliki tabiat pelik iaitu suka mencium bau nasi kandar yang masih lekat di tangannya. Nasi Kandar “Line Clear” adalah kegemarannya. Jika kita lihat dalam setiap Filem P Ramlee, beliau suka menggunakan angka “tiga”. Lihat sahaja filem-filemnya seperti Bujang Lapok, Do Re Mi, Pendekar Bujang Lapok, Nasib Do Re Mi dan ada beberapa lagi.


                                         
 


Pada pagi kematiannya hari Selasa, kira-kira jam 4 pagi, Saloma dikejutkan P Ramlee yang mengadu jantungnya sakit. Saloma segera memberi minuman air selawat dan ingin menelifon ambulans tetapi tidak diizinkan P Ramlee. P Ramlee berehat di atas katil sambil diperhatikan oleh Saloma. Belum sempat membuat apa-apa P Ramlee kelihatan resah dan jatuh ke atas ribaan Saloma. Pada ketika itu Saloma menyangkakan suaminya pengsan. Lebih sejam Allahyarham di pangkuan Saloma. Melihat tubuh P Ramlee tidak bergerak, Saloma terus memanggil ahli keluarga untuk menghubungi ambulans. Tiba sahaja di hospital, barulah Saloma tahu suaminya sudah meninggal dunia.


                                



Begitulah kisah hidup P Ramlee yang dapat aku kongsikan dengan korang semua. Kesian aku mengenangkan keperitan hidup Allahyarham Tan Sri P Ramlee pada akhir hayat beliau. Tapi tidak mengapa kerana kini filem dan seni lagu serta karya-karya beliau masih lagi ditonton dan didengar oleh rakyat Malaysia dari yang tua sampai yang muda. Setiap filem yang dibuat oleh P Ramlee menggambarkan data belakang masyarakat ketika itu. Oleh itu tidak hairanlah beliau dikatan seorang yang genius dalam bidang perfileman dan namanya dikenali seluruh dunia. Kepada korang yang nak menceburi dunia perfileman tu, aku nasihat buatlah filem yang berkualiti dari segi Bahasa dan tidak mengetepikan adab kita sebagai sebuah negara yang berbilang bangsa di Malaysia. Ingin aku petik dialok P Ramlee dalam filem Bujang Lapok apabila Ramli memarahi Sudin yang menegur seorang pengawal keselamatan berbangsa singh dengan bahasa yang kasar lalu Ramli (watak yang dipegang P Ramlee) “ Oii Sudin kau ni pun jagalah Bahasa tu sikit !” Bahasa itu melambangkan Bangsa kau tau !”. Lebih kurang macam tulah ayatnya. Ok itu sahaja buat hari ini ya pembaca yang dikasihi. Tangan aku pun dah krem ni heee… Terima kasih kerana sudi membaca !

Wednesday 4 June 2014

Sedarlah Wahai Anak Muda Seperti Pejuang Muda Rosli Dhoby

Sudah lama rasanya aku tak menulis di blog ni. Terlampau sebuk sangat dengan kerja sampai takda masa nak mencoretkan sedikit idea untuk dikongsikan kepada kamu semua. Errk ceh wah ayat aku tu macam ramai je pembacanyakan hee.. Ok lah aku tak nak banyak celoteh nanti korang pon letih lalu pergi minum teh dan tidur di atas katil heee…. Apalah yang aku dok mengarut ni kan? Heee… Baiklah hari aku nak kongsi dekat korang mengenai perjuangan seorang anak muda serawak yang pertama mati di tali gantung.


Rosli Dhoby namanya harum sehingga kini. Beliau merupakan seorang pejuang kemerdekaan Sarawak daripada penjajah British. Beliau berketurunan Melayu, berdasarkan kepada darah ayahnya berketurunan Palembang. Manakala ibunya berketurunan Melanau. Rosli Dhoby usiannya ketika itu baru 17 tahun dan menjadi pelatih guru. Namun semangat juang bagi menentang British yang ingin kembali menguasai Sarawak selepas Perang Dunia Kedua cukup mengagumkan. Rosli Dhoby seorang yang gemar membaca, mendengar redio dan dahaga akan ilmu. Beliau seorang yang gemar membaca buku mengenai pejuang Indonesia iaitu Sukarno. Rosli Dhoby ini juga seorang yang menghormati orang tua, oleh itu tidak hairanlah jika kematangannya melampaui usianya yang baru sahaja 17 tahun. Dia seorang yang gemar bergaul dengan rakan-rakannya. Malahan ada rakan-rakan Rosli Dhoby yang lebih berusia daripadanya. Dia juga mendapat didikan agama yang cukup daripada ayahnya yang merupakan Imam masjid di kawasan dia tiggal. Beliau iaitu Rosli Dhoby telah menjadi pelatih guru untuk mengajar anak-anak Sarawak. Walaupun umurnya masih muda semangatnya amat tinggi untuk menjadi pelatih guru demi menjadikan anak-anak Sarawak seorang insan berilmu.






Anak muda yang dilahirkan pada 1932 di Sibu menganggotai Gerakan Pemuda Melayu (GPM) yang ditubuhkan bagi menentang keluarga Brooke yang kalah dalam Perang Dunia Kedua tetapi mahu menyerahkan Sarawak kepada pentadbiran British selepas 1945. "Penduduk tempatan mahu keluarga Brooke (yang memerintah Sarawak dari 1839-1942) menyerahkan Sarawak kepada mereka untuk memerintah sendiri dan bukan menjual Sarawak kepada British dengan harga satu juta pound. Tindakan Sir Charles Vyner Brooke itu mencetuskan kemarahan penduduk Sarawak yang merasakan negeri mereka menjadi barang dagangan yang boleh dijual beli," katanya pada satu majlis dialog Sejarah Hero Melayu pada Zaman Awal Sarawak, di sini, baru-baru ini. Tindakan Charles menjual dan menyerahkan Sarawak kepada pentadbiran British pada 1 Julai 1946 mencetus semangat penentangan di kalangan penduduk tempatan terutama golongan cerdik pandai, kakitangan kerajaan dan guru. Sebelum itu, dua Ahli Parlimen British, D R Rees Williams dan L D Gammans melawat Sarawak pada Mac 1946 untuk mendapatkan pandangan penduduk mengenai isu penyerahan Sarawak sebelum dikemukakan kepada Majlis Negeri untuk kelulusan. Penduduk tempatan tidak memahami maksud sebenar penyerahan dan isu itu yang kemudian diluluskan selepas berdebat di Majlis Negeri dengan memihak kepada sokongan penyerahan iaitu 19 undi menyokong berbanding 16 undi menentang. Keputusan itu menyebabkan bermula 1 Julai 1946, British memerintah Sarawak, bagaimanapun, ramai penduduk tempatan tidak berpuas hati dengan keputusan berkenaan. Guru dan kakitangan kerajaan dari kalangan orang Melayu paling ramai menentang penyerahan termasuk Rosli serta mereka yang menganggap penyerahan itu tidak sah dari segi undang-undang dan sebaliknya menuntut kemerdekaan Sarawak.

Rasa tidak puas hati berterusan terutama di kalangan orang Melayu yang kemudian menubuhkan GPM untuk menentang penjajah. Atas rasa cintakan tanah air, Rukun 13 yang dianggotai 13 ahli GPM yang turut disertai Rosli mengadakan perjumpaan di Jalan Queensway, Sibu pada 21 Februari 1949 untuk mengusir Gabenor penjajah dan wakil yang lain. Puncak penentangan GPM tiba selepas Gabenor British kedua, Duncan Stewart yang mentadbir Sarawak membuat lawatan pertama ke Sibu. Mereka merancang mengambil peluang itu ketika Stewart melawat Sibu pada 3 Disember 1949, tarikh Rosli dipilih untuk menikam Stewart bagi memberikan gambaran kepada Inggeris yang masanya sudah tiba bagi Sarawak untuk merdeka. Sebenarnya Rosli tidak mahu terlibat dengan rancangan pembunuhan itu tetapi dia telah diyakinkan oleh seorang ahli Rukun 13 yang merupakan seorang peguam yang mahir dalam bidang undang-undang. Beliau telah memilih Rosli untuk merialisasikan hasrat Rukun 13 kerana Rosli lah calon yang paling sesuai. Hal ini kerana Rosli baru sahaja berumur 17 tahun dan dia tidak akan dekenakan hukuman gantung apabila melakukan pembunuhan itu. Sehari sebelum berlakunya peristiwa pembunuhan itu Rosli kurang bercakap di rumah. Dia hanya mengasingkan diri dan menunaikan solat sepanjang malam serta tidak tidur. Pagi itu dia bangun awal lebih kurang jam 5 pagi dan mula bergerak ke rumah temannya Morsidi Sidek sambil memakai baju ala-ala perjuang Indonesia iaitu idolanya Sukarno.

Pada jam 9 pagi, ketika penduduk Sibu berkumpul bagi menyambut Stewart dan beberapa pegawai Inggeris yang tiba dalam satu barisan panjang sambil pelajar mengibarkan bendera Inggeris dan Sarawak, Rosli pula bersedia ditengah-tengah orang ramai dengan rakannya Morsidi Sidek yang menyamar sebagai jurugambar. Kira-kira 9.30 pagi ketika Gabenor bergerak ke arahnya, Rosli terus mengeluarkan badik (senjata tradisi yang disapu racun) dan meluru serta menikam perut, sambil melaungkan perkataan: "keluar dari Sarawak atau kamu mati", pada masa yang sama Morsidi pula menyerang pegawai Inggeris, yang hanya dikenali sebagai Mr Dilks. Mereka berdua ditangkap polis di tempat kejadian, manakala Stewart yang dalam keadaan kritikal dihantar ke Hospital Lau King Howe Sibu sebelum diterbangkan ke Singapura pada pagi esoknya dan meninggal dunia tujuh hari selepas kejadian.




Rosli didapati bersalah menikam sampai mati Gabenor British Sarawak yang kedua, Sir Duncan Stewart dengan menggunakan pisau beracun di Sibu pada 3 Disember 1949.Faktor yang menyebabkan beliau terpaksa mengakui tuduhan tersebut adalah atas permintaan ibu beliau kerana ibu beliau telah diugut akan ditembak. Selepas beberapa bulan dalam penjara di Kuching, Rosli akhirnya maut di tali gantung pada 2 Mac 1950.Hal ini berlaku apabila pihak british membuat satu penipuan dengan mengatakan umur Rosli Dhoby pada ketika itu 19 tahun. Turut sama digantung adalah rakan seperjuangannya Morshidi Sidek, Awang Ramli Amit Awang Matsaruddin dan Bujang Suntong.Kematian mereka berempat telah menyebabkan gerakan penentangan anti-kolonialis di Sarawak berakhir secara mendadak. British juga tidak membenarkan jenazah mereka dibawa keluar dari kawasan penjara.

Tindakan itu kononnya bagi mengelakkan tunjuk perasaan dan bantahan ahli keluarga serta pihak antipenjajahan terhadap hukuman yang dijatuhkan terhadap mereka berdua, sebaliknya dikebumikan di satu sudut pekarangan Penjara Kuching, tanpa sebarang pengenalan pada kubur.

Pada 1996, Kerajaan Sarawak merasakan adalah tidak wajar untuk wira dan nasionalis berkenaan kekal terpenjara selepas dihukum gantung 46 tahun dulu. Dengan persetujuan ahli keluarga, kubur Rosli dan tiga rakannya digali semula dan dikebumikan dengan sempurna di tempat kelahiran asal mereka iaitu di Sibu. Dalam proses penggalian kubur itu timbul satu kmusykilan dimana apabila kubur Rosli digali didapati cebisa tulang atau apa sahaja berkaitan mayat tidak dijumpai berbanding dengan 3 lagi rakannya. Tambahan kuburnya berbau harum. Tanda tanya itu kekal sehingga hari ini. Walaubagaimanapun, istiadat pengkebumian penuh penghormatan sebagai pahlawan itu tetap diteruskan. Keempat-empat pahlawan itu dibawa dengan dua helikopter Nuri ke Sibu yang disambut lebih 2,000 warga Sibu. Jasad mereka dikebumikan di perkuburan Masjid An Nur pada 2 Mac 1996 iaitu bersamaan tarikh Rosli dijatuhkan hukuman gantung. Bagi penjajah British, Rosli adalah penjenayah, namun bagi penduduk Malaysia, beliau adalah wira yang berjuang dan menggadai nyawa untuk memerdekakan negeri ini dari cengkaman penjajahan.


Kandungan Surat Akhir Sebelum Dihukum Gantung

Dengan secharek kertas ini dan se‑putung pensil untuk renungan sepanjang masa. Saya si‑penulis Rosli Dhobi dalam lindungan Permai. Saudara2 dan saudari2 sa‑perjuangan, saya ta' lama lagi akan meninggalkan jejak tanah tumpah darakku yang ku chintai, dan utama sekali ayah bunda yang ku kasehi dan saudara2 semua, dengan nama Allah sifat pemurah dan pengampun saya menyusun 10 jari mohon ampun dan maaf atas kesalahan saya yang telah terjadi selama ini, saga sanggup berkorban nyawa untuk memperbaiki raayat yang telah di‑ budaki oleh penjajah, saya mengaku dan terima apa2 kesalahan di dunia ini saya ta'genter saya ta'takut mati, saya terima hukuman yang telah di jatohkan di‑mahkamah.

Saya berdoa kepada Allah s. w. t. Saudara2 saudari2 di‑akhir kelak balek ke‑pengkuan Ibu‑pertiwi. Sungguh begitu saya sudah sanggup menghapuskan orang putih yang berasin dan datang‑nya tetapi saya sudah tidak ada di dunia ini nama saya tetap harum seluroh Dunia sa‑genap plusuk. Akhir kata, hey! Saudara2 Saudari2 sekalian berjuanglah jangan mundur majulah ka hadapan

Amin ya rabbul alamin berkat do a laillahaitlahi Munamada rasululah. Dan saga uchapkan jutaan terima kasih kepada saudara Pa. S. Allah sahajalah yang akan membalas budi jasa‑nya dengan penuh layanan, nasiha yang belom pernah di‑dengar oleh saya dari awal hingga akhir.

Harapan ini surat jangan sekali di‑beri sesiapa pun. Simpan baik‑bai, barangkali di‑lain masa ada guna‑nya.

Ditulis pada 1‑3‑1950
Saya yang akan meninggalkan endah ini,



Itu sahaja yang aku nak kongsikan dekat korang. Tujuan aku menulis kisah Rosli Dhoby ini untuk membangkit dan menyedarkan semua remaja sekarang mengenai semangat cinta akan tanah air. Rata-rata remaja kini sebuk bersosial sehingga ada diantara mereka yang sanggup mengambil dadah, berpati liar semata-mata ingin mencari kepuasan kononnya. Jangan terlalu gembira sangat. Walaupun sekarang ini kita sudah lama merdeka, tetapi tidak mustahil suatu hari nanti kita akan dijajah semula akibat kecuaian generasi kini. Janganlah kita memusnahkan segala usaha perjuang terdahulu. Ingatlah kita yang bakal mentadbir dan memimpin negara pada masa akan datang. Jika rosak anak muda kita pada masa kini maka rosaklah pemimpin dan negara kita pada masa akan datang !